.
Kuala Lumpur: Harga emas dijangka terus bergerak dalam lingkungan semasa dan hanya mampu kembali mencecah RM600 segram sekiranya tercetus semula krisis geopolitik atau Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat mula menurunkan kadar faedah.
Penganalisis Ekonomi, UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tanpa faktor berkenaan, harga emas dijangka terus bergerak dalam julat semasa iaitu kira-kira RM540 hingga RM570 segram untuk beberapa bulan akan datang.
Katanya, ketika ini, harga emas 24K berada sekitar RM541 hingga RM543 segram, jauh lebih rendah berbanding paras tertinggi RM627.39 segram yang direkodkan pada Januari lalu.
"Paras RM600 segram bukan sesuatu yang mustahil dicapai semula, tetapi ia memerlukan katalis baharu, jika perjanjian damai antara AS dan Iran gagal atau berlaku semula gangguan di Selat Hormuz, premium risiko akan kembali meningkat dan harga emas boleh melonjak dengan pantas.
"Selain itu, kelemahan dolar AS bersama penyusutan nilai ringgit juga mampu mengangkat harga emas tempatan walaupun harga emas global tidak berubah dengan ketara," katanya kepada Bisnes Metro.
Mengulas pergerakan harga emas sepanjang Jun, beliau berkata, penyusutan kecil yang berlaku lebih kepada fasa konsolidasi selepas kenaikan kukuh sejak awal tahun dan bukannya menandakan perubahan arah aliran jangka panjang.
Menurutnya, antara faktor utama ialah reda ketegangan geopolitik di Asia Barat selepas perjanjian damai awal antara AS dan Iran yang membuka semula laluan Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap emas sebagai aset selamat.
"Pada masa sama, dolar AS kekal kukuh berikutan Rizab Persekutuan (Fed) masih mengambil pendekatan berhati-hati terhadap penurunan kadar faedah, menyebabkan harga emas terus menerima tekanan.
"Tambahan pula, pelabur mengambil keuntungan selepas harga emas meningkat kira-kira 66 peratus dalam tempoh setahun lalu, keadaan ini lazim berlaku apabila pasaran memasuki fasa konsolidasi sebelum meneruskan aliran seterusnya," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, prospek jangka panjang emas masih kekal positif disokong pembelian berterusan oleh bank-bank pusat, paras hutang global yang tinggi serta inflasi yang masih berlarutan.
Katanya, tiga faktor utama terus menentukan hala tuju harga emas iaitu geopolitik Asia Barat, dasar kadar faedah Fed dan pergerakan kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit.
"Geopolitik menjadi pemacu paling kuat kepada lonjakan harga dalam jangka pendek kerana setiap peningkatan risiko perang akan meningkatkan permintaan terhadap emas sebagai aset perlindungan.
"Fed pula menentukan trend jangka sederhana, jika kadar faedah mula diturunkan pada separuh kedua tahun ini, ia akan menjadi pemangkin positif kepada harga emas global," katanya.
Menurutnya, bagi pengguna di Malaysia pula, pergerakan dolar AS berbanding ringgit memberi kesan paling langsung terhadap harga emas di kedai kerana walaupun harga emas dunia menurun, kelemahan ringgit masih mampu mengekalkan harga emas tempatan pada paras tinggi.
Bagi separuh kedua tahun ini, beliau menjangkakan trend asas emas masih menaik, namun turun naik harga dijangka kekal tinggi bergantung kepada perkembangan geopolitik global.
Katanya, sekiranya keadaan di Asia Barat kekal stabil, harga emas dunia dijangka bergerak dalam lingkungan AS$4,000 hingga AS$4,300 seauns, bersamaan sekitar RM565 hingga RM575 segram berdasarkan kadar pertukaran semasa.
Disiarkan pada: Jun 26, 2026 @ 3:42pm
.
https://www.hmetro.com.my/bisnes/2026/06/1375507/emas-perlukan-pemangkin-baharu-untuk-cecah-semula-rm600-segram

0 Comments